BAB
LIMA
PENUTUP
1.0
PENDAHULUAN
Bab ini merupakan bab yang terakhir bagi kajian ilmiah ini. Penulis akan
membuat kesimpulan terhadap keseluruhan penulisan dan memberikan beberapa
saranan dan juga cadangan yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab
wanita dalam gerakan dakwah.
5.1
KESIMPULAN
Sepanjang kajian ini, penulis mendapati majoriti
daripada responden yang terlibat sudah pun memahami bahawa wanita berperanan
dan turut mempunyai tanggungjawab dalam melaksanakan tuntutan dakwah
termasuklah dakwah yang melibatkan persatuan atau sesuatu gerakan. Cuma, masih
ada sebahagian antara mereka yang tidak memahami pelaksanaan atau batasan
bidang kuasa seseorang wanita dalam gerakan dakwah. Ini terbukti melalui hasil
dan analisis kajian yang dijalankan. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka sudah
pun diberi pendedahan awal peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan
dakwah seperti wanita dituntut melaksanakan dakwah secara berorganisasi dan hal
itu merupakan satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Penulis mendapati
responden diberi penekanan dari sudut kewajipan berdakwah melalui
program-program persatuan, mahupun silibus yang diajarkan kepada mereka.
Sebagai contoh, program usrah yang dijalankan oleh pihak persatuan pelajar.
Walaupun majoriti daripada mereka memahami peranan
dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah, namun itu tidak bermakna mereka
faham secara mendalam tentang kewajipan tersebut. Penulis mendapati ramai
antara mereka hanya mengetahui kewajipan seseorang wanita berdakwah tanpa
mereka memahami secara jelas dalil-dalil ataupun nas-nas dari Al-Quran mahupun As-Sunnah. Masih ramai kabur
dan kurang jelas hadis Sahih Bukhari yang mengatakan bahawa wanita itu kurang
akal dan agama jika dibandingkan dengan lelaki sehingga mereka menafikan
potensi kepimpinan ataupun saranan idea oleh seorang wanita. Mereka hanya
menafsirkan hadis tersebut secara zahir tanpa mengetahui tentang sebab hadis
itu diungkapkan oleh Rasulullah SAW. Mereka tidak merujuk huraian ataupun
perbahasan para ulama’ dalam membincangkan hadis tersebut.
Melihat kepada situasi ini, pelbagai langkah
perlulah diambil bagi memastikan setiap individu muslim itu bukan sahaja dapat
memahami peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah, namun dapat
turut menyokong dan membantu wanita dalam mengembangkan syiar Islam. Hal ini
penting bagi memastikan Islam kembali gah sebagai sebuah cara hidup yang
sempurna, lengkap dan menyeluruh.
5.2
CADANGAN
DAN SARANAN
Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, penulis dan responden ingin
mengemukakan beberapa cadangan dan saranan yang boleh dilakukan oleh
pihak-pihak yang berkaitan mahupun orang perseorangan bagi meningkatkan
kesedaran umum tentang peranan dan tanggungjawab seseorang wanita dalam gerakan
dakwah terutamanya para pendakwah sendiri.
1.
Penulis menyarankan agar setiap individu muslim hendaklah sentiasa
mengkaji sesuatu dalil sama ada dari Al-Quran mahupun As-Sunnah sebelum
menjadikannya hujah agar kita benar-benar faham dan jelas sesuatu nas itu
diwahyukan oleh Allah SWT. Hal ini juga bagi memastikan kita faham tuntutan
dalil tersebut secara tepat dan yakin untuk berpegang dengannya.
2.
Selain itu, bicara-bicara ilmiah berkenaan peranan dan tanggungjawab
wanita harus giat dijalankan kepada masyarakat agar masyarakat mampu memahami
peranan wanita dan menjadi penyokong kepada gerak kerja yang mulia ini.
3.
Kempen kesedaran harus dijalankan besar-besaran agar wanita tidak lagi
takut untuk sama-sama turun ke medan dakwah dan menghadapi masyarakat dalam
mendukung perjuangan dakwah ini.
4.
Ibu bapa merupakan pencorak utama perkembangan anak-anak dalam memastikan
anak-anak perempuan mereka bersemangat dan memahami tuntutan dakwah ini.
Persekitaran rumah yang mempunyai unsur tarbiah dapat memastikan anak-anak
memahami bahawa dakwah itu merupakan suatu kewajipan tanpa mengira jantina sama
ada lelaki mahupun perempuan.
5.
Para pensyarah juga memainkan peranan yang penting dalam menyuntik
semangat dakwah dalam kalangan siswi dan memperbetul semula persepsi yang salah
terhadap isu ini.
6.
Media massa sangat berpengaruh dalam mendoktrin atau membentuk pemikiran
masyarakat kerana hampir kesemua golongan masyarakat menggunakan saluran ini
dalam kehidupan seharian. Pelbagai rancangan ataupun siaran yang kreatif harus
ditayangkan bagi menarik minat wanita untuk turun ke lapangan dakwah.
7.
Semua pihak harus menggembleng tenaga dalam memastikan setiap individu
memahami peranan ini secara benar dan tepat di samping dakwah dapat terus
berkembang melalui penglibatan wanita.
5.3
PENUTUP
Wanita juga merupakan seorang insan yang mempunyai potensi yang sama
sebagaimana lelaki dalam meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT melalui
penglibatan mereka dalam dakwah. Oleh itu, janganlah sesekali dinafikan peranan
mereka dalam dakwah agar Islam itu tidak dipandang serong sebagai suatu agama
yang menindas wanita.
Sebagai pengakhiran, penulis berharap kajian ilmiah ini mampu menjadi
sebuah sumber rujukan yang bermanfaat dalam membahaskan peranan dan
tanggungjawab wanita dalam dakwah.
BIBLIOGRAFI
1.
Tafsir
Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran (1987), ed. 8. Kuala Lumpur:
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri
2.
Al-Syeikh
Dr. Faisal Mawlawi (2011), Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami, Nafisah
Hj. Md Tahir (terj.) Kuala Lumpur: Jundi Resources
3.
Nafisah
Tahir et al., Zatil Azzyati Mustapha (ed). Muslimah Celik Politik,
Gombak : Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak
4. Ab. Aziz Mohd. Zin (2005), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
5. Muhammad al-Ghazali (1981), Ma’allah,
Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi
6. Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut : Dar Ihya’, jil.
4
7. Al-Shawkani, Fath al-Qadir, Beirut : Dar al-Fikr, jil 4, h. 165
8. Taufik Yusuf Al-Wa’I (2004), Profil Wanita Aktivis Dakwah, Tim L-Data (terj.) Jakarta: Griya Ilmu
9. Al-Bukhari, Kitab Al-Haidh : Bab Tarki al-Haidh al-Saoum, Hadis
no. 296
10. Jalan Da’wah Antara Keaslian dan Penyelewengan, Ustadh Mohd. Yusuf Ismail (terj.) Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar, cet. 3
No comments:
Post a Comment