BAB
DUA
WANITA
DAN DAKWAH
1.0
PENGERTIAN
DAN KONSEP DAKWAH
2.0.1 DEFINISI DAKWAH
Sebelum melangkah
lebih jauh, penulis berpendapat dakwah itu harus difahami dari sudut
terminologi dan secara teori agar dakwah itu dapat difahami sejelas-jelasnya
sebelum membicarakan peranan dan tanggungjawab wanita dalam dakwah itu sendiri.
[Dakwah merupakan sebuah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang
membawa pelbagai pengertian. Antara pengertian yang paling menonjol ialah
meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan
melaung.][1]
Muhammad
Al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program (barnamij) yang
lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang
diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang
menjadi petunjuk kepada mereka.[2]
Dr. Yusof
al-Qaradawi pula memberi definisi dakwah sebagai usaha membawa orang lain
kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala
ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri,
permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri daripada segala
kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi
hak kepada yang ditentukan haknya oleh Allah, menafikan hak ke atas orang yang
dinafikan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan
berjihad pada jalan-Nya.[3]
Berdasarkan
takrifan dakwah oleh beberapa orang tokoh di atas, dapatlah disimpulkan secara
mudah bahawa dakwah itu ialah […usaha yang dilakukan oleh seseorang atau
kumpulan dengan pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredaan
Allah.][4]
Dakwah mempunyai pengertian yang sangat luas dan pelbagai memandangkan
ragam manusia itu sendiri yang pelbagai. Jadi, sudah tentulah pelbagai cara,
metod atau kaedah digunakan untuk menepati fitrah manusia itu sendiri yang
akhirnya membuatkan dakwah itu ditakrifkan dengan pelbagai pengertian; berbeza-beza
mengikut orang yang melaksanakannya di tempat masing-masing.
Allah SWT
banyak menerangkan mengenai perihal dakwah di dalam Al- Quran. Bermula daripada
sebelum hijrah baginda Rasulullah SAW sehinggalah tertubuhnya Negara Islam
Madinah Al-Munawwarah, banyak ayat Al-Quran yang menyentuh mengenai takrifan,
tuntutan dan segala permasalahan yang berkaitan dengan dakwah. Berikut
merupakan beberapa potong ayat suci dari Al-Quran yang menyentuh dakwah dari
pelbagai sudut sama ada dari sudut metodologi, kewajipan mahupun pengertian.
Firman
Allah SWT:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ [5]
Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara
yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang
yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang
yang mendapat hidayah petunjuk
Berdasarkan
ayat-ayat di atas, dakwah dapat disimpulkan sebagai satu usaha yang mengajak
orang lain supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan atau lebih
tepat lagi menyeru orang lain supaya melakukan segala kebaikan dari sudut
pandang agama Islam itu sendiri dan meninggalkan segala keburukan yang dilarang
dan ditegah oleh syariat. Dakwah bukan bererti agama Islam itu sendiri tetapi
dakwah ialah usaha yang dilakukan bagi menyeru manusia supaya menerima agama
Islam sebagai satu bentuk kehidupan dari segenap aspek larangan mahupun
pensyariatannya.
2.0.2 HUKUM DAKWAH
Hukum
berdakwah sering diperdebatkan daripada dahulu sehingga sekarang sama ada dalam
kalangan pendakwah sendiri mahupun para ulama’ dalam pelbagai lapangan ilmu.
Kebanyakan mereka sering berselisih sama ada hukum dakwah itu Fardu Ain ataupun
Fardu Kifayah. Sekiranya kita mengkaji tentang hukum ini berdasarkan Al-Quran
dan As-Sunnah, tiada keterangan yang jelas dan sorih menerangkan sama ada ia
Fardu Ain ataupun Fardu Kifayah. Jadi, ulama’ berbeza pendapat dalam
menerangkan hukum dakwah. [Golongan pertama berpendapat ia fardu kifayah,
sementara golongan kedua pula berpendapat ia fardu ain. Kedua-dua golongan
tersebut mempunyai hujah masing-masing, sama ada dari al-Qur’an, hadis atau
daripada sumber-sumber hukum lain.][6]
Orang-orang
yang termasuk dalam golongan yang mengatakan hukum dakwah ini Fardu Kifayah
sering berhujah menggunakan beberapa ayat Al-Quran yang cukup masyhur dalam
memperdebatkan hukum dakwah iaitu Surah Ali-Imran ayat 104, Surah At-Taubah ayat
122 dan Surah Al-Maidah ayat 105.
Firman
Allah SWT:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ [7]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang
menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala
perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan
keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Ayat ini dihuraikan secara
terperinci bagi membincangkan persoalan yang membabitkan hukum dakwah. Perkataan
منكم daripada ayat di atas menunjukkan bahawa
perintah ayat tersebut ditujukan kepada sebahagian daripada orang Islam sahaja.[8]
Menurut Al-Qurtubi, menyeru kepada perkara ma’aruf dan mencegah kemungkaran
merupakan Fardu Kifayah.[9]Al-Shawkani
pula menerangkan bahawa perintah tersebut khusus untuk ahli ilmu yang
mengetahui tentang perkara-perkara yang ditegah dan perkara-perkara yang
diarahkan.[10]
Begitulah pendapat-pendapat ulama’ yang mengatakan bahawa hukum dakwah itu
fardu kifayah berdasarkan firman Allah dalam ayat 104 Surah Ali-Imran.
Setelah penulis meneliti
satu persatu hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-kedua pendapat, dapatlah
disimpulkan bahawa hukum dakwah itu berubah-ubah mengikut suasana. Ia menjadi
Fardu Ain yang wajib ditunaikan oleh semua orang Islam mengikut tahap
pemikiran, pengetahuan dan pemahaman individu itu sendiri dan ia berubah
menjadi Fardu Kifayah dalam melaksanakannya secara berkumpulan ataupun berjemaah.
Ini jelas membuktikan
tidaklah salah kedua-dua pendapat bahkan kedua-duanya betul dan harus diterima.
[Manakala ‘Abd al-Karim Zaydan pula menjelaskan bahawa kewajipan dakwah ke
atas seseorang itu ada dua peringkat. Pertama, peringkat perseorangan yang
mesti dilakukan oleh setiap orang Islam, berdasarkan dia itu orang Islam.
Kedua, peringkat berjamaah, berdasarkan dia itu menjadi anggota kepada jamaah.][11]
2.0.3 KEPERLUAN
DAKWAH SEMASA
Melayari bahtera kehidupan
pasca moden yang kian mencabar dan menekan agama Islam, dakwah menjadi suatu
kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu tanpa mengira jantina
sama ada lelaki mahupun perempuan. Dakwah harus giat dan terus dijalankan tanpa
titik noktah supaya fitnah-fitnah yang melanda agama Islam ini dapat dihapuskan
secara total.
Dunia telah mengalami
transformasi budaya yang sangat pesat. Teknologi yang kian pesat dan maju
membuatkan pelbagai maksiat mudah dilakukan dengan lebih terancang dan teratur.
Sistem ciptaan manusia yang mengagung-agungkan Barat diguna pakai hampir
seantero dunia sedikit sebanyak menyumbang kepada penolakan sistem beragama
seterusnya menatijahkan penghayatan kepada cara dan sistem hidup Islam semakin
menipis sehinggakan terdapat orang-orang yang mengaku beragama Islam turut
menolak secara total sistem beragama.
Pelbagai maksiat tidak lagi
disembunyikan malahan disebarkan secara meluas dan terang-terangan seperti zina,
buang anak, minum arak, berjudi, melacur dan pelbagai lagi kegiatan yang
merancakkan industri seks seolah-olah menjadi satu norma kehidupan dalam
masyarakat hari ini. Masyarakat dunia hari ini menganggap isu ini bukan lagi
menjadi satu isu kebejatan sosial yang harus dibendung, malahan mereka mula menerimanya
sebagai satu gaya hidup yang perlu diterima dalam mengiringi kepantasan zaman
yang telah berubah.
Arus jahiliah yang begitu
hebat dan kuat ini harus segera ditangani secepat mungkin agar Islam kembali
ditegakkan di atas muka bumi Allah SWT ini. Derasnya arus jahiliah moden zaman
kini yang telah membelenggu dunia harus segera dihentikan. Maka dakwah sangat
berperanan besar dalam mengubah situasi yang parah ini di samping mengubah
laluan kehidupan manusia yang telah tersasar agar kembali ke pangkal jalan
iaitu pulang ke pangkal Tuhan.
Hanya dakwah yang mampu
menyentuh hati manusia agar kembali mentaati Allah SWT. Walau apapun cara atau
metod yang digunakan dalam berdakwah dan selagi mana ia menepati dengan cara
yang berlandaskan Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijma’ Ulama’; maka wajiblah
dakwah itu untuk terus dilaksanakan. Dakwah harus digerakkan oleh sesiapa
sahaja dalam kalangan orang Islam tanpa mengira pangkat, keturunan ataupun
harta. Tuntasnya, dakwah harus dilaksanakan oleh segenap umat Islam yang masih
bernafas di atas muka bumi ini mengikut kemampuan dan kefahaman masing-masing
dalam memastikan fitnah yang menimpa agama ini dapat dihapuskan.
Firman Allah SWT :
[12] وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
[12] وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
Dan perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu
semata-mata kerana Allah. Kemudian, jika mereka berhenti maka tidaklah ada
permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
2.1
PENDAKWAH WANITA
Masyarakat hari ini sering
menafikan tanggungjawab dan peranan seseorang wanita termasuklah dalam lapangan
dakwah. Lebih mendukacitakan apabila golongan yang menafikan peranan dan
tanggungjawab wanita dalam lapangan dakwah ini adalah golongan yang mendalami
agama sendiri termasuklah golongan wanita itu sendiri. Oleh itu, penulis
berpendapat bahawa bab ini sangat penting dalam merungkaikan
persoalan-persoalan yang bermain-main di minda dan membetulkan persepsi dan
tanggapan terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh golongan wanita
terutamanya dalam lapangan dakwah.
2.1.1
DALIL-DALIL KEHARUSAN DAKWAH BAGI WANITA
Wanita tidak terkecuali
daripada melaksanakan dakwah. Sumber dari Al-Quran dan As-Sunnah sendiri banyak
menyebut dalil-dalil ataupun bukti-bukti yang menggalakkan wanita ataupun
muslimah untuk bersama-sama menyertai lelaki dan para pemuda untuk berdakwah.
Berdakwah merupakan satu ladang kebajikan bagi meraih pahala dan ganjaran
daripada Allah SWT. Maka, ladang kebajikan ini tidak tertumpu pada satu
golongan sahaja tetapi kepada semua hamba Allah SWT yang bernafas di atas muka
bumi ini. Dakwah mampu menyuntik hati-hati insan yang lalai supaya kembali
mentaati Allah SWT yang akhirnya mencetuskan suatu perubahan dalam kelompok
masyarakat ke arah yang lebih baik. Maka, wanita tidak terkecuali dalam usaha
membentuk sebuah masyarakat yang lebih baik dan sejahtera.
Allah menciptakan manusia
kepada lelaki dan wanita supaya mereka hidup bersama dalam sebuah masyarakat.
Kedua-duanya diberikan potensi yang sama, iaitu potensi akal dan potensi hidup
(naluri dan jasmani). Potensi-potensi ini mendorong manusia terjun dalam kancah
kehidupan dan melakukan aktiviti politiknya. Kedua-duanya diciptakan oleh Allah
bagi saling bekerjasama dalam menyelesaikan urusan dan permasalahan antara
mereka.[13]
Allah SWT telah berfirman :
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚأُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ [14]
Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh
berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan
sembahyang dan membayar zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka
itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha
Bijaksana.
Bebanan syariat ke atas lelaki dan perempuan adalah
sama, kecuali pada perkara-perkara yang dikhususkan bagi kaum perempuan seperti
haid, istihadah, nifas, bersalin, penyusuan dan warisan. Kedua-duanya adalah
hamba Allah yang dituntut bagi mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan amar
ma’ruf nahi munkar dan memakmurkan dunia. Kedua-duanya juga dituntut supaya
bekerjasama, sesuai dengan firman-Nya: “ Sebahagian mereka (adalah) menjadi
penolong bagi sebahagian yang lain.”
[15]
Seringkali kita mendengar ungkapan Inggeris yang
berbunyi, “Behind a great
man, lies a great woman”. Ini
menunjukkan seseorang wanita itu sangat memainkan peranan dalam kejayaan seseorang
lelaki. Begitu juga dengan jalan dakwah ini. Mata kita pastinya sering
menyaksikan musuh-musuh Islam sama ada dari golongan kafir mahupun golongan
munafik, mereka tidak menyerang Islam melainkan mereka ditemani wanita-wanita
kafir ataupun munafik yang mendukung mereka. Tidaklah seorang lelaki yang
berfahaman liberal, sekular mahupun pemikiran-pemikiran yang bertentangan
dengan Islam berdiri menentang Islam melainkan di sampingnya wanita yang
berfahaman seperti mereka.
Ini
berdasarkan Firman Allah SWT:
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ [16]
Orang-orang
munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang
lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang
dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil
kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah
juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang munafik itu,
merekalah orang-orang yang fasik
Allah SWT turut
berfirman :
وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ [17]
Dan orang-orang
yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang
lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu
sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah
fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.
Dua
ayat dia atas sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita bahawa wanita ataupun
muslimah turut berperanan dalam menyebarkan dakwah sebagaimana orang-orang
kafir dan munafik yang turut memanfaatkan potensi wanita dalam menghancurkan
Islam. Dalil-dalil ini secara automatik menjadi bukti dakwah merupakan suatu
kewajipan yang harus dijalankan oleh seorang wanita muslimah.
2.1.2
CIRI-CIRI
PENDAKWAH WANITA
Setiap pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri
ataupun kualiti pada diri mereka bagi membezakan mereka daripada manusia yang
lain. Hal ini disebabkan mereka ialah orang yang mengembangkan dan
menyebarluaskan agama Allah SWT yang mulia ini. Para pendakwah yang akan
mewarnai corak kehidupan masyarakat dengan warna dan bentuk yang selari dengan
tuntutan agama ini. Lantaran itu, merupakan suatu kewajipan bagi seorang
pendakwah untuk memiliki keperibadian yang jitu dan konkrit sesuai dengan
seruannya kepada orang lain.
Seorang
pendakwah haruslah beriman dengan sebenar-benar keimanan. Orang yang
benar-benar beriman ini dapatlah ditakrifkan sebagai seorang yang menjaga
ibadahnya, melaksanakan segala perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW serta dia
pula menahan dirinya daripada melakukan maksiat sama ada secara terang-terangan
mahupun sembunyi-sembunyi, sama ada dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar.
Allah SWT telah berfirman mengenai sifat-sifat orang yang beriman:
إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا [18]
Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta
orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta
orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang ta’at serta
orang-orang perempuan yang ta’at, dan orang-orang laki yang benar serta
orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta
orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri
(kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah),
dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang
bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan
yang berpuasa, dan orang-orang laki yang memelihara kehormatannya serta
orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki
yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang
menyebut nama Allah banyak-banyak, - Allah telah menyediakan bagi mereka
semuanya keampunan dan pahala yang besar.
Begitulah salah satu ciri
yang perlu ada pada seorang pendakwah wanita iaitu beriman dengan sebenar-benar
keimanan. Hal ini bagi mengelakkan dakwah mereka tidak mampu memberi kesan
kepada orang yang didakwahkan selain memelihara seorang wanita agar tidak
mengalah dalam usaha berdakwah. Keimanan yang benar juga mampu menjadi benteng
dan perisai dalam menangkis serangan-serangan musuh Islam yang amat memusuhi
dakwah.
Selain itu, seorang
pendakwah wanita haruslah mempunyai akhlak yang terpuji bagi memelihara dirinya
daripada orang-orang lelaki yang berniat jahat terhadapnya. Segala tutur kata,
lenggok badan, budi bicara serta pandangannya haruslah sentiasa diawasi agar
dirinya terselamat daripada kejahatan nafsu syahwat yang menguasai diri bagi
seseorang lelaki. Hal ini bagi menjamin kesucian seorang wanita yang telah
ditinggikan martabatnya dalam Islam dan memelihara maruahnya daripada tercemar
oleh anasir-anasir jahat.
Allah SWT telah berfirman :
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti
mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah
kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan
buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik
(sesuai dan sopan).
Walaupun ayat ini kelihatan
diturunkan kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW semata-mata namun
istifadhahnya boleh diambil oleh semua wanita yang menjalankan kegiatan dakwah
di luar sana. Seorang pendakwah wanita haruslah mengikut jejak langkah yang
telah ditonjolkan oleh isteri-isteri Nabi dalam menyebarluaskan agama ini
kerana merekalah orang yang mendapat tarbiyah secara langsung oleh Allah SWT
melalui perantaraan Rasulullah SAW sendiri.
…Sebab pelaku dakwah adalah
model yang membawa keteladanan, dan model yang menjadi teladan selalu menjadi
cahaya yang menerangi dan petunjuk yang menuntun ke jalan. Sementara
orang-orang yang berhati sakit selalu mengintai peluang terhadap para wanita suci
dan mencari aib orang-orang yang tidak bersalah agar menjadi noda dengan
kefasikan dan kesesatannya. Maka hendaknya setiap perkataan diperhitungkan
dengan aturan, setiap gerak-gerik dengan aturan, nada bicara dengan aturan, dan
semua itu harus dipertimbangkan…[20]
Seorang pendakwah juga
haruslah ikhlas dalam melaksanakan kewajipannya. Dia haruslah mengikhlaskan
jiwa, tujuan dan hatinya semata-mata demi menggapai keredaan Allah SWT. Fikirannya
harus kosong daripada memikirkan ganjaran dan balasan kehidupan di dunia. Allah
SWT berfirman:
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku,
hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku
diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal
pertama – (yang berserah diri
Seorang yang ikhlas tidak
akan pernah peduli pujian dan cacian yang dilontarkan oleh orang terhadapnya.
Perkara yang penting baginya hanyalah keredaan Tuhannya. [ Ibnu al-Qayyim
mengemukakan bahwa merupakan suatu kemustahilan antara ikhlas dapat menyatu
dengan sifat senang dipuji dan disanjung. Ia melukiskan dengan mengibaratkan
kemustahilan air dapat menyatu dengan api, seraya mengatakan : “Tidak akan
menyatu dalam hati antara ikhlas, senang pujian, dan tamak terhadap apa yang
ada pada orang lain, seperti halnya dengan air tidak dapat menyatu dengan api,
dan biawak dengan ikan paus.”][22]
Ikhlas sangat penting dalam
menempuhi jalan dakwah sehinggakan Imam Syahid Hassan Al-Banna menjadikannya
sebagai salah satu daripada 10 rukun bai’ah supaya setiap orang Islam sentiasa memperbaharui
niat dalam berdakwah dan membiasakan dirinya daripada perkara-perkara yang
membatalkan bai’ahnya. Ikhlas menjadi tunjang utama amalan lebih-lebih lagi
dalam melaksanakan tugas yang berat dan mulia ini. Hal ini dapat dilihat
melalui kata-katanya, [“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah supaya
saudara Muslim menujukan perkataannya,” ‘amalannya dan perjuangannya kepada
Allah dengan mencari keredhaanNya dan ganjaran baikNya tanpa memandang kepada
sebarang keuntungan, kebendaan, pangkat, gelaran, maju atau mundur…][23]
Ciri ataupun sifat yang juga
amat penting dalam menelusuri liku-liku dakwah ialah sifat sabar. Jalan yang
harus ditempuhi oleh seorang pendakwah bukanlah jalan yang mudah dan sebentar
bahkan jalan yang harus ditempuhinya ialah jalan yang panjang dan lama. Hal ini
digazetkan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang berbunyi:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ [24]
Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai
Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana
(tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi
tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah
dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi
bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka
sendiri sedang Allah mengetahui bahawa sesugguhnya mereka itu orang-orang yang
berdusta ( tentang tidak sanggupnya mengikutmu).
Allah SWT juga berfirman:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji
(dengan sesuatu cubaan)?
Ujian merupakan satu bentuk
sunnatullah dalam mendidik hamba-hambaNya agar terus taat dan patuh terhadap
perintahNya. Hanya sabar mampu menjadi bekal dalam menghadapi ujian-ujian yang
menimpa agar terus maju dan istiqamah dalam jalan dakwah ini. Tanpa sifat
sabar, nescaya tidak akan sampai matlamat dakwah seseorang ataupun sesetengah
kelompok. Luqman Al-Hakim, seorang hamba Allah SWT yang sangat soleh dan taat
pernah menasihati anaknya sebagaimana firman Allah SWT:
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ [26]
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan
suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang
mungkar, dan bersabarlah atas segala bala’ bencana yang menimpamu. Sesungguhnya
yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya.
Allah SWT juga memerintahkan
rasulNya untuk sentiasa bersabar dalam melaksanakan dakwah kerana jalan dakwah
itu sememangnya perit dan sukar. Seorang pendakwah harus faham dan sedar dan
bahawa seorang rasul yang dipelihara oleh Allah SWT daripada maksiat dan
dijanjikan syurga pun diuji sebegitu hebat dan ditarbiah oleh Allah SWT untuk
bersabar, maka lebih-lebih lagilah seorang pendakwah yang hanya merupakan
seorang manusia biasa dan sering melakukan maksiat, hendaklah mereka lebih
banyak bersabar. Ini jelas dalam firman Allah SWT:
(Jika demikian
akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah
engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-‘Azmi” (yang mempunyai keazaman
dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan
janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu
itu)...
Allah SWT turut
berfirman:
Dan bersabarlah
terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah
dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
Umair
bin Habib mengatakan dalam memberi wasiat kepada anaknya: “Apabila salah
seorang dari kalian memerintahkan kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang
munkar maka hendaklah ia mempersiapkan dirinya sebelum itu untuk menghadapi
rintangan dan meyakinkan dirinya dengan ganjaran. Sebab barangsiapa yakin
dengan ganjaran dari Allah SWT maka niscaya ia tidak akan menemukan sentuhan
rintangan”.[29]
2.1.3 ISU-ISU YANG MELANDA KAUM WANITA DALAM DAKWAH
Terdapat
pelbagai isu yang melanda kaum wanita dalam melaksanakan dakwah sehingga
menyebabkan penglibatan mereka terbantut dan terhenti. Kefahaman yang salah
dalam menafsir nas-nas yang sahih merupakan isu utama yang harus diperbetul dan
dibahaskan semula. Hal ini kerana kefahaman yang salah ini akan membuatkan
tindak-tanduk dan pendirian dibina atas dasar yang salah yang akhirnya
menatijahkan suatu keputusan yang salah bagi menentukan prioriti mahupun hukum
berkaitan kewajipan seseorang wanita dalam dakwah.
2.1.3.1 WANITA KURANG AGAMA DAN AKALNYA
Minda yang waras dan peka pastinya tidak menafikan,
ramai lelaki hari ini menafikan kemampuan dan kekuatan seseorang wanita. Mereka
mencipta pelbagai alasan dan andaian sehingga memperlekeh dan memperkecil
peranan wanita. Golongan lelaki dan wanita yang mempelajari agama turut tidak
terkecuali dalam isu ini. Mereka hanya menyempitkan tugas seorang wanita untuk
menjadi isteri di rumah dan menguruskan rumah tangga semata-mata; bukannya
untuk turun ke medan dakwah disebabkan agama dan akal mereka yang lemah. Tidak dinafikan
bahawa memang benar akal dan agama wanita itu lemah sebagaimana sabda baginda
SAW yang bermaksud :
“Wahai wanita,
aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agama yang mampu
melumpuhkan hati seorang lelaki melebihi kamu. Mereka bertanya: Apakah
kekurangan akal dan agama kami Ya Rasulullah? Rasulullah bersabda : Bukankah
persaksian wanita sama dengan setengah lelaki? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah
bersabda: Maka di situlah letak kekurangan akalnya. Bukankah wanita ketika haid
tidak boleh solat dan puasa? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka
di situlah letak kekurangan agamanya.”[30]
Hadis
ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari. Sesiapa pun dalam
kalangan umat Islam pastinya tidak menafikan hadis ini kerana martabatnya yang
sahih namun pemahaman terhadap hadis ini kadangkala tidak bersandarkan
kefahaman yang jelas dan betul. Oleh itu, penulis merasakan bahawa hadis ini
harus dihurai agar pemahaman yang salah ini dapat diperbetul.
Sebenarnya
kekurangan agama yang dimaksudkan di dalam hadith ini telah diterang oleh
Rasulullah SAW bahawa kekurangan tersebut adalah dari segi ‘kuantiti’ sahaja
bukannya dari segi ‘kualiti’. Ini adalah kerana apabila wanita itu didatangi
haid, mereka tidak boleh mendirikan sembahyang dan tidak boleh berpuasa,
sedangkan lelaki sentiasa boleh bersolat dan berpuasa. Wanita itu akan
menqadhakan puasanya dan tidak perlu menqadhakan solatnya yang menyebabkan
jumlah dan bilangan solatnya kurang dan sedikit berbanding kaum lelaki. Inilah
yang dimaksudkan dengan kekurangan agama bagi wanita, iaitu kekurangan dari
segi ‘kuantiti’ bukannya ‘kualiti’…[31]
Hal ini menjelaskan bahawa kekurangan
agama yang dimaksudkan merujuk kepada perbezaan pada kuantiti bukannya kualiti.
Berkemungkinan besar ada wanita yang lebih hebat ibadah sunatnya daripada
seseorang lelaki sehingga memungkinkan dia mencapai taraf dan darjat yang lebih
tinggi daripada seorang lelaki.
Oleh
yang demikian, persaingan bagi mencapai kualiti yang lebih baik adalah setara
tanpa mengira jantina sama ada dia seorang lelaki ataupun seorang wanita. Berkemungkinan
besar wanita mampu untuk mendahului lelaki. Tiada perbezaan dalam merebut
darjat dan ganjaran daripada Allah SWT. Hal ini bertepatan dengan firman Allah
SWT:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ [32]
Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan
sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan
yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih
baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Seandainya kekurangan agama
itu merujuk kepada kuantiti, peranan yang boleh dimainkan dalam lapangan dakwah
haruslah tidak dinafikan malahan harus dimanfaatkan sebaiknya. Gerak kerja
wanita dalam dakwah harus dijadikan salah satu cara bagi meningkatkan kuantiti
ibadah yang mampu meningkatkan kualiti diri mereka. Wanita haruslah berani
tampil ke hadapan dalam lapangan dakwah agar ruang bagi mereka berbuat amal
kebajikan bagi meraih pahala serta ganjaran daripada Allah SWT dapat digunakan
sepenuhnya.
Manakala kekurangan akal
pula, bukanlah bermakna bahawa setiap wanita kurang akalnya jika dibanding
dengan akal lelaki. Boleh jadi akal seseorang wanita lebih sempurna dari akal
kebanyakan lelaki. Ini merupakan kenyataan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Tujuan Allah SWT mengurniakan kekuatan akal yang menjadikan mereka mampu
menguasai perasaan dan hawa nafsunya dan Allah menentukan bahawa wanita kurang
kemampuannya daripada lelaki yang memungkinkan perasaannya mengatasi
pertimbangan akalnya, bukanlah ia bermakna satu kemuliaan untuk kaum lelaki di
hadapan wanita tetapi untuk memberi ruang pada kedua-dua pihak agar saling
bantu membantu dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditentukan…[33]
Kekurangan yang dimaksudkan
ini sebenarnya bersifat nisbi (relatif), sebagaimana yang telah dinyatakan oleh
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani : “Yang
sempurna itu adalah kurang jika dinisbahkan dengan yang lebih sempurna”.
Rasulullah SAW juga tidak pernah menyifatkan kaum lelaki dengan kesempurnaan
akal, tetapi memang tidak diragui bahawa akal lelaki secara umumnya lebih kuat
dari perasaannya. Kenyataan ini menjadikan kita selalu cenderung untuk
mentafsirkan kekurangan akal wanita itu apabila dinisbahkan kepada perasaannya…[34]
Seandainya kekurangan agama
dan akal wanita itu dihuraikan sebagaimana yang disebutkan di atas, maka tidak
seharusnya bagi seseorang lelaki mahupun wanita sendiri lebih-lebih lagi yang
mendalami agama untuk menafikan tanggungjawab dan peranan yang dapat dimainkan
oleh wanita dalam lapangan dakwah. Mereka juga tidak seharusnya menjadikan
hadis yang mulia ini sebagai bahan untuk menafikan kaum wanita dalam berdakwah.
2.1.3.2 KEKUASAAN
LELAKI TERHADAP WANITA
Fahaman kedua yang wajib
diperbetul ialah tentang kepimpinan seseorang lelaki terhadap kaum wanita.
Ramai dalam kalangan kita yang terdiri daripada bukan sahaja lelaki malahan
wanita sendiri menganggap kepimpinan merupakan kelebihan dan kemuliaan seseorang
lelaki terhadap wanita. Hakikatnya, kepimpinan bukanlah merupakan kelebihan
ataupun kemuliaan tetapi merupakan sebuah amanah terhadap lelaki tersebut untuk
memelihara dan menjaga wanita terutamanya dalam berumahtangga. Terdapat
beberapa keistimewaan pada diri lelaki yang menyebabkan Allah SWT memikulkan
padanya amanah yang sangat berat ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ...[35]
Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah
telah melebihkan orang lelaki ke atas wanita, dan juga kerana orang lelaki
telah membelanjakan harta mereka…
Kelebihan bagi lelaki yang
dimaksudkan di sini ialah berkaitan dengan keistimewaan-keistimewaan tertentu
sahaja yang menjadikan mereka lebih berupaya untuk memimpin. Ia bukanlah satu
kelebihan yang mutlak. Malah kaum wanita lebih lagi mengatasi kaum lelaki pada
perkara yang berkaitan dengan penjagaan anak-anak kecil contohnya. Kenyataan
ini menguatkan lagi bahawa isunya di sini ialah isu perbezaan tugas dan tanggungjawab
antara lelaki dan wanita.[36]
Hal ini menjelaskan kepada
kita bahawa tidak dinafikan lelaki mempunyai kelebihan dalam kepimpinan namun
itu tidak bermakna mereka berkuasa mutlak dalam kepimpinan sehingga menidakkan
tanggungjawab dan peranan wanita dalam kepimpinan terutamanya perkara-perkara
yang melibatkan kegiatan dakwah. Pemikiran yang mengatakan hanya lelaki yang
menetapkan sistem, perancangan dan ketentuan dalam berdakwah merupakan perkara
yang amat salah kerana wanita lebih memahami cara dan metod yang terbaik dalam
berdakwah sesama wanita.
2.1.3.3 WANITA
YANG BAIK HARUS MENETAP DALAM RUMAH
Sebahagian besar daripada
kita tidak mengira jantina sama ada lelaki mahupun wanita sendiri meyakini
bahawa wanita tidak boleh keluar rumah kecuali apabila keadaan yang sangat
terdesak. Anggapan mereka ini berdasarkan firman Allah SWT:
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta
janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah
zaman dahulu…
Wanita muslimah tempatnya
adalah di rumahnya, menetap dengan perasaan yang tenang dan rehat kerana dia
dapat melaksanakan tanggungjawab utamanya yang bersesuaian dengan fitrahnya
yang diciptakan Allah SWT untuknya. Dalam situasi ini dia dapat menumpukan
kerjanya dengan sebaik mungkin. Namun jika sekiranya ia berasa menetap di rumah
merupakan paksaan dan sentiasa mencari peluang untuk keluar bebas tanpa sebab,
maka pada ketika itu ia telah menyalahi kewajipan menetap di rumah yang telah
Allah SWT wajibkan ke atasnya, kerana kesannya ia akan gagal dalam menjalankan
tanggungjawab di dalam rumahtangganya.[38]
Ayat ini juga menunjukkan
larangan wanita dari bertabarruj (bersolek dan berhias) sebagaimana
orang-orang jahiliyyah dahulu kala. Kita tertanya-tanya adakah wanita dilarang
bersolek di rumah untuk suaminya? Atau adakah ia amalan yang baik dalam
melayani suaminya? Yang benarnya, wanita yang keluar rumah dengan bertabarruj
hukumnya haram tanpa syak lagi. Oleh yang demikian, maka ayat ini memberi
maksud bahawa wanita muslimah hendaklah menetap sahaja di rumahnya agar dia
dapat melaksanakan tanggungjawab rumahtangganya. Jika ia keluar dengan alasan
yang dibenarkan oleh syarak, maka wajiblah ke atasnya mengelak diri dari
bertabarruj seperti orang-orang jahiliyyah dahulu kala. Oleh yang demikian ayat
ini begitu nyata dan jelas mewajibkan wanita apabila keluar dari rumahnya tidak
bersolek dan berhias-hias. Ia bermaksud memberi jaminan keharusan keluar rumah
jika ada sebab-sebab yang diizinkan oleh syarak.[39]
Dapatlah disimpulkan di sini
bahawa hukum wanita keluar daripada rumah bergantung pada niat dan perilakunya.
Seandainya niat dan perilakunya berlandaskan syara’, maka hukumnya boleh jadi
wajib, harus ataupun sunat. Namun, seandainya niat dan perilakunya yang
berlebih-lebihan dalam bersolek, maka hukumnya boleh jatuh kepada makruh atau
haram.
Tuntasnya, apabila wanita
keluar untuk melaksanakan kewajipan dakwah, maka ia tidak tergelincir dari
landasan syara’ dan dibenarkan kerana ia merupakan sebahagian daripada amal
kebajikan dan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu tanpa
mengira jantina lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu-isu yang hanya boleh
difahami oleh golongan wanita sahaja seperti dirogol, dipaksa gugurkan anak dan
dipaksa melacur.
2.1.4 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB WANITA DALAM GERAKAN DAKWAH
Bab ini merupakan bab yang
amat penting dan menjadi tumpuan kepada hasilan ilmiah ini. Penulis akan
menghuraikan secara terperinci peranan-peranan dan tanggungjawab wanita dalam
sesebuah gerakan dakwah yang sering dipandang enteng dan rapuh oleh sesetengah
golongan. Bab ini diharapkan dapat membuka mata orang yang memandang rendah
terhadap peranan seseorang wanita dan membetulkan persepsi yang salah.
2.1.4.1 MEDAN
DAKWAH BAGI KAUM WANITA
Wanita merupakan sekelompok
entiti yang sangat besar yang mewakili separuh daripada jumlah masyarakat.
Dalam era globalisasi yang begitu pesat membangun, wanita-wanita Islam
khususnya menghadapi pelbagai tekanan berat dari segenap sudut sehingga ramai
dalam kalangan mereka terpengaruh dan terpedaya dengan tipu daya orang-orang
kafir. Oleh itu, pendakwah-pendakwah dari kalangan wanita sendiri seharusnya
turun ke lapangan kerana mereka lebih memahami jiwa dan psikologi seseorang
wanita itu sendiri. Pendakwah wanita lebih memahami tentang jiwa dan cara yang
sesuai untuk diaplikasikan dalam menyeru wanita-wanita yang telah terpedaya
agar pulang ke jalan yang diberkati dan diredai oleh Allah SWT.
Hakikatnya, pedakwah wanita
bukanlah sebarangan wanita. Pendakwah wanita merupakan seseorang yang mempunyai
visi dan misi yang hebat dalam menegakkan kalimah Allah SWT. Mereka bukanlah
seperti wanita-wanita yang lain yang hanya tahu untuk bersukaria dan patuh pada
kehendak sekeliling. Oleh itu, semangat ini tidak harus dibazirkan dan harus
dimanfaatkan sepenuhnya demi kegemilangan Islam.
2.1.4.2 PENDIDIK
DAN PENTARBIAH PERINGKAT AWAL
Wanita merupakan golongan
yang cukup sinonim dengan kanak-kanak. […ia merupakan sekolah pertama yang
memproduk generasi dan para kader umat. Kaum wanitalah yang meletakkan fondasi
awal untuk membangun istana kepahlawanan, di samping menyalakan tekad membara
di dada kaum muda sekaligus para tokoh.][40]
Seseorang yang waras dan
rasional akal fikirannya pastinya tidak menafikan bahawa wanita merupakan
golongan yang cukup sesuai dalam menanam dan membentuk minda kanak-kanak agar menjadi
golongan yang berguna terutamanya dalam sesebuah perjuangan Islam. Oleh itu,
ini merupakan dakwah secara halus yang dapat dimanfaatkan oleh seorang insan
bergelar wanita. Ini merupakan suatu bentuk dakwah secara psikologi. Jika tidak
sebagai seorang ibu di rumah, maka wanita boleh menjadi seorang guru yang
membentuk fikiran dan semangat kepada seorang kanak-kanak untuk terus
beriltizam dengan kehidupan Islam. Lantaran itulah, ramai guru pada hari ini
majoritinya ialah golongan wanita disebabkan sifat seorang pendidik yang begitu
menebal dalam diri mereka.
2.1.4.3 DAKWAH MELALUI PENULISAN
Wanita merupakan insan yang
cukup kaya dengan perasaan dan jiwa. Tidak dinafikan, penulisan wanita
kadangkala cukup menyentuh perasaan dan mampu menyampaikan mesej yang jelas
kepada pembaca. Wanita cukup berperanan besar untuk berdakwah melalui
penulisannya untuk mengetuk pintu-pintu hati manusia keseluruhannya. Hal ini
terbukti kebenarannya apabila wujud pelbagai tokoh wanita yang berdakwah
melalui penulisannya sama ada penulis tempatan mahupun antarabangsa.
Antara tokoh-tokoh wanita
yang berdakwah melalui penulisan ialah Zainab Al-Ghazali; seorang ahli Ikhwan
Muslimin yang menceritakan pengalamannya sewaktu ditahan di penjara Mesir,
Zabrina A. Bakar; seorang wanita warga Singapura yang menulis cerita-cerita
motivasi Islamik dan terkenal seantero dunia melalui bukunya yang bertajuk
‘Life Is An Open Secret’ dan Fatimah Syarha; penulis Malaysia yang terkenal kerana
cerita-cerita cinta Islamik.
2.1.4.4 PEJUANG
HAK-HAK WANITA YANG DIIKTIRAF AGAMA
Tidak dapat kita nafikan
bahawa terdapat golongan-golongan yang menafikan hak-hak yang telah
dianugerahkan oleh Allah SWT terhadap wanita. Maka, wanita merupakan golongan
yang paling layak dan sesuai untuk memperbetul persepsi masyarakat terhadap
hak-hak mereka yang telah dinafikan. Wanita seharusnya tampil dan mara ke
hadapan dalam membela nasib mereka. Ini merupakan sebuah dakwah dalam menyeru
masyarakat ke arah kefahaman yang benar dan hakiki tentang hak-hak yang
sepatutnya diperoleh oleh seorang insan yang bergelar wanita.
Mungkin ada yang
menggelarkan diri mereka Islamic Feminisme namun hakikatnya mereka
bukanlah memperjuangkan hak-hak wanita yang bersifat gender bias tetapi mereka
sebenarnya memperjuangkan arahan dan syariat Allah SWT yang telah dianugerahkan
kepada golongan wanita. Secara mudahnya, mereka memperjuangkan untuk membenarkan
kalimah Allah SWT dan sabda baginda SAW yang mengikitiraf hak-hak,
peranan-peranan dan tanggungjawab bagi seseorang wanita. Apabila ia melibatkan
membenarkan kalimah Allah SWT dan utusanNya, maka ia adalah sebuah bentuk
dakwah secara tidak langsung.
[1]
Ab. Aziz Mohd. Zin (2005), Pengantar
Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, h. 1
[5]
Surah An-Nahl (16): 125
[7]
Surah Ali Imran (3) : 104
[8]
Muhammad al-Ghazali
(1981), Ma’allah, Beirut : Dar
Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, h. 17
[9]
Al-Qurtubi, al-Jami’ li
Ahkam al-Qur’an, Beirut : Dar Ihya’, jil. 4, h. 165
[10]
Al-Shawkani, Fath al-Qadir,
Beirut : Dar al-Fikr, jil 4, h. 165
[12]
Surah Al-Baqarah (2) : 193
[14]
Surah At-Taubah (9) : 71
[16]
Surah At-Taubah (9) : 67
[17]
Surah Al-Anfal (8) : 73
[18]
Surah Al-Ahzab (33) : 35
[19]
Surah Al-Ahzab (33) : 32
Ilmu, h. 216.
[21]
Surah Al-An’am (6) : 162-163
[23]
Jalan Da’wah Antara Keaslian dan Penyelewengan, Ustadh Mohd. Yusuf Ismail (terj.) Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar, cet. 3, h. 31.
[24]
Surah At-Taubah (9) : 42
[25]
Surah Al-‘Ankabut (29) : 2
[26]
Surah Luqman (31) : 17
[27]
Surah Al-Ahqaf (46) : 35
[28]
Surah Al-Muzammil (73) : 10
[30]
Al-Bukhari, Kitab Al-Haidh
: Bab Tarki al-Haidh al-Saoum, Hadis no. 296
[32]
Surah An-Nahl (16) : 97
[35]
Surah An-Nisa’ (4) : 34
[37]
Surah Al-Ahzab (33) : 33
[40]
opcit, Taufik Yusuf
Al-Wa’I (2004), h. 89
No comments:
Post a Comment