19 Februari 2018
Jaafar termenung panjang. Sudah lebih setahun rasanya sejak dia memadamkan api kemarahan dan kebencian yang tertanam di benaknya beberapa tahun sebelum itu.
Dendam dan amarah tidak pernah membuatkannya menjadi insan lebih baik bahkan hanya menyiksa jiwa dan raganya.
Benar, sakit dan pedih saat ditinggalkan tetapi pada hematnya, bukan itu tujuan utama kehidupannya, masih banyak tugas dan misi tergalas di pundak sebagai seorang hamba yang beriman kepada Tuhannya.
Hati ini bukanlah dicipta untuk dipenuhi dengan dendam dan amarah tetapi untuk kedamaian dan ketenteraman. Hanya kebahagiaan yang seharusnya dirasai oleh hati dalam kehidupan ini.
Dia yakin, Allah SWT tidak pernah menjanjikan bahawa kehidupannya akan mudah tetapi Allah SWT berjanji untuk sentiasa bersama-sama dengan orang yang mendekatkan diri kepadaNYA. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hambaNYA apatah lagi orang-orang yang sentiasa berusaha menggapai redaNYA. Itu keyakinannya.
Peristiwa itu memadamkan kepercayaan Jaafar terhadap pelajar-pelajar jurusan agama meskipun dirinya sendiri seorang penuntut bidang keagamaan. Lihat sahaja realiti hari ini, ramai orang yang tidak khusus mendalami agama jauh lebih beragama dari orang yang berbangga dan mengaku lulusan agama.
Kenangan silam kembali bertandang ke benaknya satu-persatu. Bermula dari musuh ketat semasa tahun kedua, sehingga kerja bersama-sama dalam persatuan, berbalas surat melalui orang tengah, ber'baitul muslim' melalui naqib sekolah, semuanya kembali bertamu di fikirannya.
Cuma kali ini, Jaafar sedar dirinya bukan seperti dulu, tiada lagi rasa sakit dan dendam saat memori berputar-putar di benaknya, berbeza ketika beberapa tahun dulu, kadangkala menangis meratapi nasib diiringi rasa benci, marah, sedih, duka, semuanya bercampur-baur mencipta ramuan yang meracuni hati.
Dua tahun juga untuk dirinya belajar meminta maaf dan memaafkan. Kenapa minta maaf? Kerana dia sedar dirinya juga tidak pernah terlepas daripada kesilapan sepanjang perhubungan itu. Kenapa memaafkan? Kerana dia sedar, saat dirinya sakit dan bersedih untuk perempuan yang meninggalkannya, perempuan itu sedang menghirup manisan kehidupan.
Kini, tidak lagi terasa sakit hati, tidak lagi berasa marah dan sedih saat memori itu menjengah fikiran. Ya, bukan mudah tetapi hari-harinya selepas itu menenangkan. Tiada lagi sesak di dada, tiada lagi fikirannya memikirkan perempuan yang tidak pernah menghargai dirinya.
**************************************************************************
Muhammad : Sheikh, aku nak tanya sikit boleh?
Jaafar : Haha. Nak tanya apa tu?
Muhammad : Kau masih marahkan budak tu lagi ke selepas bertahun-tahun ni?
Jaafar : Haha. Mana ada dah sheikh. Dah lama aku belajar memaafkan dia. Aku sedar aku pun ada silap tetapi tu lah, dah orang dah tak nak, buat apa sibuk nak kejar-kejar lagi? Lagipun, dia bagitahu aku dulu dia dah terima taqdim orang lain. Kenapa tanya ni? Haha
Muhammad : Bukan apa. Kalau aku cakap ni, jangan marah lah ye. Beberapa hari lepas, aku duk melepak dengan kawan aku ni, dulu mengaji sama kat sana dengan aku. Dia cakaplah pasal perempuan ni. Memandangkan aku tahu cerita korang, aku rasa betullah orang cakap, dunia ni berputar, kadang-kadang kita kat atas, kadang-kadang kita kat bawah.
Jaafar : ....
Muhammad : Kau kata dia ada terima taqdim kan? Adalah aku kenal budak ni, budak Kelantan, senyap orangnya. Beberapa hari lepas, dia duk serabutkan kepala kawan aku ni, tak boleh terima budak lelaki tu tak dapat teruskan. Budak lelaki ni kata, emaknya tak setuju. Itulah apa yang aku nak sampaikan, tak perlulah berdendam, dia dah rasa apa yang kau rasa.
Jaafar : Teringat ayat dia dulu, "Ana kahwin bukan untuk ana tapi untuk mak ana". Alasan yang sama. Subhanallah, Ma Sha Allah, betullah Allah SWT itu Maha Adil. Dan aku pelik, kalau mak dah tak setuju, kenapa nak salahkan lelaki tu? Bukan tu juga alasan yang digunakan untuk dia melupakan segala rasa dan janji dulu? Sepatutnya dia lebih memahami. Benarlah, Allah SWT itu Maha Adil.
Muhammad : Kau percaya tak aku cakap besar kemungkinan satu hari nanti kau akan bertembung dengan dia kat mana-mana?
Jaafar : Ada juga aku fikirkan, aku pun berasa benda yang sama.
Muhammad : So, apa kau nak buat waktu tu?
Jaafar : Tak de apa. Macam biasa.
Dan pertemuan Jaafar dengan Muhammad pada malam itu berakhir di situ apabila bas Muhammad tiba. Keyakinan Jaafar ketika itu terhadap Tuhannya bertambah kukuh, ada rasa pelik yang menyelubungi. Rasa kasihan dan kagum dalam waktu yang sama.
Dia hanya mendoakan yang terbaik tetapi hatinya tekad, sekiranya perempuan itu datang kembali, tidak akan dan tidak sesekali akan kembali berputik biarpun dia berasakan bahawa itu mustahil. Bukan kerana dendam, bukan kerana amarah, tetapi kerana dia lebih senang hidup bersendirian.
Bayu malam itu dirasakannya dingin tetapi cukup mendamaikan. Dia meneguhkan langkahnya seketika sebelum menapak pergi dengan kegagahan. Terasa ada kemenangan buatnya biarpun hakikatnya tiada peperangan yang dicetuskan. Terasa Tuhan memeluk setiap inci tubuhnya. Moga pawana lembut ini sentiasa setia membelai orang-orang yang dikecewakan serta memadamkan api dendam dan kemarahan mereka sebagaimana yang berlaku pada hari ini.