Mungkin sudah terlambat, mungkin juga sudah
basi disebabkan ‘post-post’ yang menjadi sohor kini (trending) pada minggu
lalu.
Tarikh ini tarikh keramat bagiku. Tiada
kata mampu diungkap bagi menggambarkan rasa yang bergelora di jiwa. Terasa semuanya
bagaikan mimpi biarpun hakikatnya semuanya adalah realiti.
Titisan jernih sedikit tertumpah dalam
kehangatan terik mentari yang menyimbah. Kaki yang sedari tadi bergetar terasa
kembali kuat meneguhkan tegaknya.
| Pemeriksaan barisan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V |
Saat itu, segala memori yang terakam
kembali berputar-putar di fikiran satu demi satu. Masa yang tadinya dirasakan begitu
lama menantikan kehadiran kini terasa begitu pantas berterbangan.
Perkara paling mengganggu fikiran saat ini
ialah sebab utama menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ini.
Masih jelas di fikiran saat hati berkecamuk
memikirkan mampukah diri ini melepasi Ujian Kecergasan Asas (UKA) bagi
melayakkan diri menjadi seorang kadet PALAPES. Jelas, cukup jelas.
Saat itu, hati begitu ragu memikirkan
benarkah diriku mampu? Benarkah aku sanggup menahan penderitaan selama 3 tahun,
berbeza dari pelajar-pelajar lain?
Hati bertambah ragu saat salah seorang
kenalan DQ menarik diri pada saat akhir. Akhirnya, aku memilih membulatkan
tekad mencuba nasib kerana hasratku yang kuat untuk bernikah.
Ya, bernikah!
Hanya itu menjadi penguat motivasiku untuk
mencuba nasib menjadi kadet PALAPES. Minatku terhadap dunia ketenteraan sahaja
tidak cukup kuat bagi meneruskan hasratku, tidak sanggup aku bersusah-payah
hanya kerana minat yang tumbuh. Elaun yang ditawarkan menjadi sebab utama
menguatkan diri mencuba nasib. Fikirku, elaun inilah yang akan menjadi mahar
untuk dirinya kelak.
Saat ujian larian, aku hampir sahaja
menyerah. Setelah sekian lama selama 3 tahun tidak aktif bersukan semasa pengajian
diploma, mustahil bagiku berlari sejauh 2 kilometer dalam masa yang ditetapkan.
Hampir sahaja aku pengsan di pertengahan jalan, tetapi dikuatkan semangat demi
mencapai hasrat.
“Kahwin, kahwin, kahwin”
Itu ayat yang kuulang-ulang saat hati ingin
menyerah kalah, saat kaki ingin menghentikan langkah. Alhamdulillah, dengan
izin Allah SWT, aku berjaya menamatkan larian dalam masa yang ditetapkan.
Masih kuingat saat menghadirkan diri ke
KLIA bagi melihat dirinya terbang jauh ke Jordan melanjutkan pelajaran. Kuminta
pertolongan kawan baiknya menyerahkan beg kertas berisi sebuah buku sebagai
hadiah dan peneman di sana. Terselit pamphlet mengenai PALAPES dan sepucuk
surat memaklumkan hasratku bahawa elaun inilah yang akan menjadi mahar buatnya.
Itu janjiku pada dirinya yang tidak pernah kulupakan.
Apakan daya, manusia ini mudah
berbolak-balik hatinya. Kehangatan yang dirasakan menjadi dingin di
pertengahan. Hasrat suci dan murni untuk menyatukan akhirnya bertukar menjadi
kemarahan dan kesedihan yang berpanjangan.
Tahun kedua dalam PALAPES, aku mula
memberontak. Motivasi yang menjadi penguat semangatku hancur lebur ditelan
zaman. Kesibukan berpersatuan saat itu juga menjadi penguat untuk menarik diri
dari bidang ketenteraan yang begitu mengikat dan melemaskan.
Sangkaanku, keaktifanku berpersatuan dapat
memadamkan api kemarahan dan kenangan tetapi hakikatnya, semakin kuaktif,
semakin kuat pula ingatan datang menerpa.
Kerana jalan inilah yang menemukanku
dengannya! Kerana jalan inilah yang membuatku menginginkan dirinya! Kerana
ingin istiqamah melalui Baitul Muslim yang dibina!
Aku mula menghentikan larian, mengambil
masa menyedut udara segar. Aku mula berfikir ke mana arah tujuku. Cinta dan
perjanjian hanya sebuah mainan biarpun pemainnya seorang ustaz mahupun ustazah
yang mengaji agama!
Aku mula muak ungkapan Jihad yang
dilaungkan setiap persatuan tetapi membawa kepada perpecahan umat Islam itu
sendiri.
Aku mula muak perlakuan ustaz dan ustazah
yang sering menyalahkan Tuhan dengan takdir yang diberikan sedangkan Tuhan
memberi kudrat kepada insan melakar garisan kehidupannya sendiri. Segala takdir
memang berlaku dengan izin Tuhan tetapi atas pilihan yang turut diberikan.
Tuhan tidak pernah zalim, apatah lagi
kepada hamba-hambaNYA yang mahu menghampiriNYA. Hanya kita yang seringkali
bodoh dalam membuat pemilihan dan penafsiran.
Akhirnya, minatku dalam ketenteraan kian
tumbuh. Daripada menyibukkan diri dengan berpersatuan yang hanya melaungkan
jihad tetapi saat seruan jihad itu sampai, mampukah mereka menghadapinya? Maka
aku mula menumpukan ke bidang ketenteraan.
Ahli-ahli persatuan sering menjadikan topik
Baitul Muslim (perkara paling benci aku dengar) saat bersembang. Tidak kurang
ramai ahlinya bernikah awal atas alasan menjaga hati dan istiqamah dalam
perjuangan.
Saat itu, muncul di benakku pemikiran
bahawa lebih baik aku berkahwin dengan perjuangan yang sebenar, mengorbankan
diri demi negara tercinta, bukan sekadar laungan penuh semangat, tetapi akan kubuktikan
dengan amal.
Pelbagai peperangan dalaman kuhadapi untuk
tiba ke saat ini. BMI yang berlebihan di saat akhir membuatkan aku melawan
nafsu makan dan memaksa diri melakukan senaman lebih dari kebiasaan.
![]() |
| Keluarga yang banyak memberikan sokongan |
![]() |
| Bersama-sama Panglima Latihan, Mejar Jeneral Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik |
![]() |
| Bersama-sama RSM PALAPES UM, Encik Mushaidi |
Kenangan bertemu dengan pegawai-pegawai dan
jurulatih-jurulatih yang hebat, ibubapa yang begitu memberikan sokongan,
rakan-rakan yang menerima kekurangan kita dan sudah dianggap seperti keluarga
sendiri, pahit manis, gelak tangis; semuanya menghadirkan pelbagai kenangan
yang tidak mungkin mampu dilupakan.
![]() |
| Melapor di Rejimen 515 Askar Wataniah untuk ditumpangkan ke PALAPES UM |
Hari ini aku menjadi seorang pegawai
simpanan Angkatan Tentera Malaysia.
‘Paku’ yang tertancap di bahu, bukan suatu
kebanggaan tetapi suatu amanah dan tanggungjawab demi masa depan negara yang
tercinta.
12 Ogos 2017, tarikh keramat yang pasti
tidak mampu kulupakan.
![]() |
| Setelah 3 tahun terpisah membawa haluan masing-masing setamatnya DQ, berjumpa kembali di Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam Ke-36 |





No comments:
Post a Comment