BAB SATU
PENDAHULUAN
1.0
PENDAHULUAN
Dakwah merupakan suatu kewajipan bagi
setiap insan yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah S.W.T. dan Nabi
Muhammad S.A.W. itu pesuruh Allah S.W.T.
sama ada dirinya seorang lelaki mahupun seorang wanita. Dakwah merupakan
kewajipan yang harus dilaksanakan sepanjang masa tanpa mengira zaman dan keadaan
kerana ia merupakan sebaik-baik perkataan dan pembuktian iman seseorang muslim
berdasarkan amalan dakwah yang dilakukannya. Allah S.W.T. berfirman :
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ [1]
Maksudnya:
Siapakah
yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,
mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang
yang menyerah diri.[2]
Wanita
atau muslimat juga dituntut untuk melakukan amal soleh sebagai bukti keimanan
mereka sebagaimana yang dituntut atas diri seorang lelaki. Justeru itulah,
Allah S.W.T. sentiasa menggandingkan kalimah amal soleh dengan kalimah
keimanan. [ Lelaki dan wanita sama-sama
dituntut dalam melakukan amalan saleh kerana ia adalah natijah yang semulajadi
bagi keimanan. Justeru itulah setiap kali kamu melihat kalimah keimanan di
dalam al-Quran pasti bersamanya kalimah amal saleh.][3]
Allah S.W.T. berfirman:
[4] مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Sesiapa
yang beramal soleh, dari lelaki ataupun perempuan sedang ia beriman, maka
sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya
Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah
mereka kerjakan
Dalam kehidupan masa kini yang
menyaksikan masyarakat yang semakin rosak dan jauh menyimpang dari ajaran Islam
membuatkan dakwah itu menjadi suatu amal soleh yang wajib untuk dilaksanakan.
Semua kewajipan ini merupakan kewajipan syarak yang dituntut terhadap lelaki
dan wanita tanpa ada pengecualian kerana sasaran dakwah itu terdiri daripada
semua golongan dan peringkat umur tanpa mengira gender sama ada mereka ialah
lelaki mahupun perempuan.
Allah
S.W.T. berfirman:
[5] وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚأُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka
menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka
mendirikan sembahyang dan membayar zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi
Maha Bijaksana.
Di dalam ayat ini Allah SWT
menjelaskan bahawa kerja amar makruf nahi mungkar serta mentaati Allah dan
rasulNya adalah perkara yang dituntut bagi lelaki dan wanita sebagaimana juga
solat dan zakat. Wanita sama sahaja dengan lelaki dalam memikul tanggungjawab
yang disyara’kan kecuali dalam perkara-perkara yang dikhususkan oleh Allah SWT
untuk lelaki dan wanita. [6]
Bebanan syariat ke atas lelaki
dan perempuan adalah sama, kecuali pada perkara-perkara yang dikhususkan bagi
kaum perempuan seperti haid, istihadah, nifas, bersalin, penyusuan dan warisan.
Kedua-duanya adalah hamba Allah yang dituntut bagi mengabdikan diri kepada
Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar dan memakmurkan dunia...[7]
Ini jelas membuktikan bahawa
kerja-kerja dakwah merupakan suatu kewajipan yang harus dilaksanakan oleh
setiap individu sama ada lelaki mahupun wanita tanpa ada pengecualian
sepertimana dalam ibadah-ibadah khusus yang lain seperti solat dan zakat
melainkan dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan pengkhususannya oleh
Allah S.W.T.
1.1
LATAR
BELAKANG KAJIAN
Wanita merupakan suatu makhluk yang
istimewa sehingga sentiasa menjadi subjek utama untuk dibahaskan sama ada oleh
lelaki mahupun wanita sendiri. Akal yang waras dan sihat pastinya tidak
menafikan bahawa terdapat perspektif ataupun fahaman-fahaman yang salah
terhadap hak-hak, fungsi, peranan dan tanggungjawab wanita yang sering
dinafikan oleh masyarakat sama ada penafian itu datangnya daripada golongan
lelaki mahupun golongan wanita itu sendiri.
Memang benar, banyak daripada perspektif
ataupun fahaman-fahaman ini lahir dan tercetus daripada nas-nas yang sahih,
tetapi ia difahami dan dihurai tanpa cara yang betul dan tepat sehingga
perspektif ataupun fahaman-fahaman ini hanya berlandaskan kehendak hawa nafsu
serta tradisi terdahulu yang telah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat
setempat tanpa difahami dari sudut ilmiah sebab-sebab sesuatu wahyu itu
diturunkan atau diucapkan dari lisan baginda S.A.W.
Perspektif yang salah ini bukan sahaja
menyerang fikiran masyarakat awam malahan golongan agamawan juga. Minda aktivis
dan pendakwah Islam juga telah berjaya dicemari dan diracuni dengan
fahaman-fahaman yang salah ini sehingga menidakkan kewajipan seorang muslimah
untuk keluar berdakwah. Fahaman-fahaman yang salah ini akan dihuraikan dalam
satu bab yang khusus dalam kajian ini agar semua golongan sedar dan faham akan
kepentingan dakwah seorang muslimah.
Kajian ini juga akan menghuraikan
cara-cara dakwah yang boleh dilakukan oleh para wanita agar masyarakat tidak
hanya memandang cara berdakwah seorang muslimah itu hanyalah dengan berceramah
di medan siasah. Kajian ini akan menjelaskan cara-cara terperinci yang boleh dimainkan
peranan mereka selaku seorang wanita dalam berdakwah pada setiap peringkat umur
melalui Dewan Muslimat PAS Selangor.
1.2
OBJEKTIF
KAJIAN
Kajian
ini dilakukan bertujuan :
1) Mengenal pasti peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah
1) Mengenal pasti peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah
2) Menganalisis kefahaman pelajar-pelajar
Darul Quran terhadap peranan dan
tanggungjawab
wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.
3) Mengkaji masalah yang sering berlaku
terhadap wanita dalam gerakan
dakwah
1.3
KEPENTINGAN
KAJIAN
Kajian ini penting untuk dijalankan bagi
mengenal pasti peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah. Selain itu, kajian ini mampu menganalisis
kefahaman pelajar-pelajar Darul Quran terhadap peranan dan tanggungjawab wanita
dalam sesebuah gerakan dakwah. Di samping itu, kajian ini dijalankan untuk mendalami masalah yang
sering berlaku terhadap wanita dalam gerakan dakwah.
Penulis juga berpendapat kajian ini
dapat memberikan kefahaman yang sebenar dan jelas kepada wanita umumnya dan
kepada para pelajar Darul Quran khususnya mengenai formula untuk menjalankan kewajipan dakwah sebagai seorang
wanita. Kajian ini juga mampu membuka minda sebahagian golongan ilmuan, para
pelajar, wanita-wanita di luar sana tentang gerakan dakwah yang dituntut oleh
Islam agar tidak terpesong dari landasan syariat Islam yang sebenar.
1.4
SKOP
KAJIAN
Kajian ini dijalankan terhadap sayap
kiri Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor iaitu Dewan Muslimat dan
badan-badan bukan kerajaan gerakan wanita yang ditubuhkan bawah Parti Islam
Se-Malaysia (PAS). Selain itu, analisis kefahaman telah dibuat terhadap 30
orang pelajar Darul Quran. Target penulisan ini adalah untuk mendedahkan
gerakan dakwah secara jelas dan penglibatan wanita secara langsung mahupun tidak langsung
bersandarkan kepada kefahaman para siswa dan siswi Darul Quran, JAKIM, Kuala
Kubu Bharu.
1.5
METODOLOGI
KAJIAN
Metodologi merupakan satu kaedah untuk
menyempurnakan kajian yang dibuat. Kajian ilmiah ini bertajuk “Peranan
dan Tanggungjawab Wanita dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Kefahaman
Pelajar Darul Quran” merupakan suatu
kajian berbentuk library research ( penyelidikan perpustakaan )
dan field ( lapangan ). Penulis menggunakan beberapa metod untuk
menyiapkan kajian ini. Metod kajian adalah seperti berikut :
1.5.1
Metod Penentuan Subjek
Metod
ini memfokuskan tentang tahap kefahaman pelajar-pelajar Darul Quran terhadap
peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.
1.5.2 Metod Pengumpulan Data
Metod
ini merupakan suatu proses pada peringkat awal. Sigifikan metod ini ialah apabila
sumber dan asal-usul sesuatu data yang diperoleh akan memberi impak dari segi
validiti dan objektiviti tesis sebagai sebuah hasilan ilmiah. Di sini, penulis
mengetengahkan sumber bersifat premier dan sekunder. Kaedah ini digunakan untuk
mendapatkan fakta – fakta dan data – data penting untuk melengkapkan kajian.
Metod ini merujuk kepada bahan bertulis seperti buku, majalah, artikel dan
sebagainya. Antaranya ialah :
a)
Metod perpustakaan
Rujukan bahan – bahan ilmiah yang telah disediakan
di perpustakaan Darul Quran JAKIM dan perpustakaan Universiti Malaya seperti
kitab, jurnal, majalah dan lain – lain. Antaranya ialah :
v Ikhwanul Muslimin :
Konsep Gerakan Terpadu
v Api Kebangkitan Islam
& Cabaran Abad Ke-21
v Fathul Bari :
Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari
v Ketokohan Wanita Islam
: Teladan dan Cabaran
v Profil Wanita Aktivis
Dakwah
v Gerakan Dakwah Dan Orde
Islam Di Malaysia
v Pengantar Dakwah
Islamiah
v Metodologi Dakwah
b)
Penyelidikan lapangan
Menyediakan borang kaji selidik kepada
pelajar Darul Quran tentang kefahaman peranan dan tanggungjawab wanita dalam
sesebuah gerakan dakwah. Antara
butiran yang terdapat di borang kaji selidik ialah :
a.
Maklumat
responden
b.
Soalan
kaji selidik
c.
Cadangan
responden
1.5.3 Metod Penganalisan Data
Segala
maklumat
yang dikumpulkan akan dianalisis oleh penyelidik untuk menyusun dan mengesahkan
ketetapannya. Segala data akan disusun semula dan dikaji dengan cara bersistem.
Penyelidikan ini telah menggunakan tiga metod berkaitan iaitu :
a.
Metod Induktif
Metod induktif ialah satu cara membuat kesimpulan
daripada bukti – bukti yang bersifat khusus untuk mencari kesimpulan yang bersifat
umum. Metod ini digunakan untuk menghurai pengenalan secara umum.
b.
Metod deduktif
Metod ini digunakan sebagai satu cara untuk membuat
kesimpulan daripada bukti – bukti yang bersifat umum untuk mencari kesimpulan
yang bersifat khusus. Metod ini digunakan untuk menghuraikan data – data dengan
lebih terperinci dan mendalam.
c.
Metod komperatif
Metod ini pula adalah satu cara membuat kesimpulan
dengan cara melakukan perbandingan terhadap segala fakta yang diperolehi.
1.6
SOROTAN
LITERASI
Nafisah
Haji Md Tahir telah menterjemah artikel yang ditulis oleh Al-Syeikh Dr. Faisal
Mawlawi dalam sebuah buku bertajuk ‘Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami’.
Buku ini menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan perspektif yang silap terhadap
peranan seorang wanita muslim dalam sesebuah gerakan dakwah yang berlaku dalam
kalangan aktivis dakwah di Eropah memandangkan Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi
merupakan penasihat agama pertubuhan organisasi-organisasi Islam Eropah dari
tahun 1986 sehingga kewafatannya. Buku ini hanya menceritakan peranan dan
tanggungjawab wanita muslim dalam gerakan dakwah di Eropah secara umum yang
berlaku sekitar tahun 80-an. Penulis pula hanya akan membicarakan peranan
wanita dalam gerakan Islam di Malaysia terutamanya gerakan Parti Islam
Se-Malaysia (PAS).
Selain
itu, Nafisah Tahir dan Nurhidayah Jaafar telah menulis sebuah buku bertajuk
‘Muslimah Celik Politik’ yang menerangkan kewajipan seorang wanita untuk turut
terlibat dalam gerakan dakwah terutamanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Buku
ini menerangkan cara-cara dan bukti-bukti dari Al-Quran dan As-Sunnah mengenai
formula untuk seseorang wanita bergerak kerja dalam sesebuah gerakan dakwah.
Buku ini hanya membicarakan peranan dan tanggungjawab wanita dari satu sudut
iaitu peranan mereka dalam gerakan parti politik. Penulis pula akan menyentuh
secara khusus peranan wanita dalam sesebuah gerakan dakwah dan tidak tertumpu
dari sudut politik semata-mata.
Di
samping itu, Mustapha As-Sibaie telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Wanita Di
Antara Syariat Dan Undang-Undang’ yang turut menyentuh dan mengupas kewajipan
seorang wanita untuk melibatkan diri dalam sesebuah gerakan dakwah. Buku ini
juga menyentuh berkaitan hukum-hukum yang berkaitan dengan wanita dalam
melaksanakan kewajipan dakwah. Buku ini mengupas secara umum segala perkara
berkaitan wanita dan kontroversi-kotroversi ataupun pemahaman yang salah
terhadap wanita. Manakala, penulis pula hanya akan membincangkan peranan dan
tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah di samping isu-isu yang
melanda wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.
Penulis juga berhasil
menemukan sebuah himpunan kertas kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengajian
Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi yang diterbitkan pada tahun 2002 berjudul “Ketokohan Wanita
Islam Teladan dan Cabaran”. Himpunan kertas kerja ini telah disunting oleh Siti
Saudah Haji Hassan. Himpunan kertas kerja ini dibahagikan kepada 4 bahagian
dalam menghuraikan ketokohan wanita iaitu Tokoh Wanita Islam Silam, Tokoh
Wanita Zaman Moden, Tokoh Wanita dalam Kesusasteraan, Tokoh Wanita dalam
Gerakan, Tokoh Wanita dalam Pendidikan dan Tokoh Wanita Sepanjang Zaman.
Penulis pula hanya akan membicarakan peranan dan tanggungjawab wanita dalam
sesebuah gerakan dakwah.
Terdapat juga sebuah
buku berjudul “Profil Wanita Aktivis Dakwah” yang telah diterjemah oleh Tim
L-Data daripada judul asal bertajuk “An-Nisaa’ Ad-Daiyat” yang ditulis oleh
Taufik Yusuf Al-Wa’i. Buku ini menyentuh secara khusus tentang ciri-ciri seorang
pendakwah wanita dan membicarakan secara mendalam tentang persiapan seorang
wanita dalam bergerak kerja di medan dakwah. Penulis pula akan menyentuh secara
khusus peranan wanita dalam sesebuah gerakan dakwah di Malaysia terutamanya
peranan wanita dalam Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor.
Nor Hanani Mohd Noor
turut menghasilkan sebuah tulisan ilmiah berjudul “Peranan Wanita dalam Dakwah
Mengikut Perspektif Al-Quran : Kajian Surah Ali-Imran”. Tesis beliau memberi
kefahaman peranan yang perlu dimainkan oleh pendakwah wanita menurut surah
Ali-Imran. Selain itu, tesis beliau menjelaskan pendekatan dakwah yang
dianjurkan menurut surah Ali-Imran. Surah Ali-Imran yang dimaksudkan hanyalah
dalam sekelompok kecil ayat surah tersebut iaitu ayat 104, ayat 110, ayat 114,
dan ayat 159. Manakala penulis pula akan membicarakan secara menyeluruh peranan
wanita berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.
[2]
Semua terjemahan ayat-ayat al-Quran dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir
Pimpinan al-Rahman kepada
Pengertian al-Quran (1987), ed. 8. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam,
Jabatan Perdana
Menteri
[3]
Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami, Nafisah
Hj. Md Tahir (terj.)
Kuala Lumpur: Jundi Resources, h. 27.
[4]
Surah An-Nahl (16) : 97.
[5]
Surah At-Taubah (9) : 71.
[6]. ibid., h.28
[7]
Nafisah Tahir et al., Zatil Azzyati Mustapha (ed). Muslimah Celik
Politik, Gombak : Dewan Muslimat PAS
Kawasan Gombak, h. 7.
No comments:
Post a Comment