بسم الله الرحمان الرحيم
Saya menarik
nafas, berehat seketika cuba menghadam 'Tuan Direktur' karya Pak Hamka. Ya,
sudah lama diam duduknya buku ini di rak yang terletak di ruang tamu rumah ini,
namun baru beberapa hari ini berkesempatan membacanya. Terasa perlu berehat
seketika dalam musim peperiksaan, membaca buku-buku di luar silibus, menimba
pengalaman dari tinta si penulis.
Mata saya tertumpu
ke ruangan sudut bilik, kelihatan beg komputer riba di situ. Pantas saya
bergerak ke arahnya dan tangan saya segera melaksanakan tugasnya. Gigi-gigi zip
tersebut kedengaran jelas bersentuhan sesama sendiri. Zrap. Ya, rasanya lebih
kurang begitulah bunyinya. Ternyata komputer riba saya di dalamnya.
Komputer riba ini
mempunyai nilai sentimental bagi saya. Sejak 2008 ia menemani saya melaksanakan
tugas-tugas di sekolah, tesis diploma[1] saya, sehinggalah tahun
lepas sebelum saya menggantikannya dengan komputer riba yang sedang saya gunakan
untuk menaip 'post' saat ini. Terlalu banyak gambar-gambar sewaktu saya masih aktif
berpersatuan di sekolah, kampus diploma dan university sebelum membuat
keputusan menyepi; saat awal sebelum mendaftarkan diri sebagai seorang PALAPES[2] dan banyak kenangan lagi.
Kenangan!
Itulah perkara
yang ingin saya kongsikan saat ini. Pasti wujud pelbagai kenangan manis, pahit,
suka dan duka yang hadir silih berganti mewarnai kehidupan kita.
Ada perkara yang terlalu ingin diingati tetapi ternyata akhirnya
kita lupa sehinggalah terlihat foto-foto lama ataupun mengalami
peristiwa-peristiwa tertentu. Ada pula perkara-perkara yang teringin dilupakan
dan cuba dipadamkan dari kotak memori selama-lamanya tetapi ternyata
perkara-perkara itulah yang sering singgah di minda, mengganggu ketenangan yang
masih sahaja diusahakan wujudnya.
Ah, mengapa saja harus kenangan-kenangan ini kembali bermain-main
di fikiran? Mengapa tidak harus hilang begitu sahaja segala-galanya?
Ya, mungkin persoalan-persoalan ini sering berlegar-legar di
minda. Saya duduk seketika, mengambil masa untuk cuba menjawab
persoalan-persoalan ini yang sudah lama difikirkan tetapi masih gagal memuaskan
hati sendiri. Saya sedar, kadangkala kita memberontak, cuba memaksa
segala-galanya berjalan mengikut aturan kita.
Mengapa kita sukar melupakannya?
1. Kenangan-kenangan ini
hakikatnya manis saat tiba sebagai tetamu dalam buku kehidupan kita sehingga di
penghujungnya teringin dilupakan kerana kemanisan itu terhenti di pertengahan
jalan, kepahitan pula mengganti tempatnya.
2. Jiwa kita memberontak
memaksa segala-galanya mengikut acuan rancangan yang direncanakan atau pun
diidam-idamkan tetapi kita lupa bahawa kita hanya hamba, ada kuasa yang lebih
hebat dan agung dalam menentukan segala-galanya. DIAlah yang Maha Bijaksana,
Allah SWT. Amalkan zikir ‘لا حول ولا قوة إلا بالله’ – Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuatan dan izin
Allah SWT.
3. Kenangan-kenangan inilah yang banyak mengajar
kita erti kehidupan dan membentuk diri kita pada hari ini.
Akhirnya, kita sedar, bahawa
kenangan-kenangan ini telah banyak mencorak diri kita menjadi seorang manusia
pada hari ini.
Kita kena sedar, kenangan –kenangan tidak
mungkin dapat dilupakan, bahkan akan terus diingati dalam mengukir ketabahan sekeping
hati. Suatu hari, pasti diri kita akan belajar meneruskan kehidupan dalam
kepahitan kenangan, tidak lagi terus menyepi dan ‘membunuh diri’[3] sendiri.
.................................................................................................................................................
Kenangan,
Saban hari aku mengharapmu pergi,
Saban hari kucuba memadammu dari memori
Mengapa masih sahaja engkau berdiam di sini?
Kenangan,
Terima kasih kudahului,
Atas segala pengajaran yang diberi,
Moga terus aku dipandu Ilahi,
Diberi ganti atas rugi.
Mengapa harus aku bergantung padamu?
Sedang hari ini hadiah buatku
Mencipta kemungkinan bagi esok yang belum tentu.
....................................................................................................................................................
Pernah saya mengimpikan melanjutkan pelajaran ke luar negara,
khususnya timur tengah tetapi tidak semua impian mampu dicapai. Jika mampu
dicapai sekalipun, tidak semua perlu ditunai menimbang tara segala kewajipan.
Saya ingin kongsikan beberapa gambar yang pernah dikongsi oleh
bekas sahabat saya yang menuntut di timur tengah, pernah menjadi sahabat yang
banyak mengajar erti kehidupan, yang banyak mengajar meredakan baran, yang
banyak mengajar hati dan naluri seorang insan bernama perempuan.
Ingin saya dedikasikan gambar-gambar ini kepada sahabat, moga
terus kuat dan berjaya dunia akhirat. Terima kasih atas kenangan yang dicipta
dalam membentuk seorang Muzahfar pada hari ini.
Gambar semasa sahabat saya ke kem pelarian Syria:

Pengalaman memasak makanan tempatan di negara orang:
Memandangkan kami suka membaca, dikongsikan juga gambar-gambar perpustakaan di sana:
Kesimpulannya, tidak perlu menyalahkan kenangan, bahkan
hiduplah berteman dengannya walau kadangkala ia menyakitkan. Kenangan pasti akan menjadi pengalaman yang mengajar erti kehidupan. ‘Come on’ lah
kawan-kawan, bukankah masih banyak perkara perlu diberi perhatian? Bukankah
masih banyak masalah perlu diselesaikan? Bukankah masih punya kehidupan yang
perlu diteruskan?
والله أعلم
[1] Kerja wajib bagi kami penuntut
diploma Darul Quran JAKIM. Pendapat peribadi saya, saya lebih suka
menggelarkannya kertas kerja atau disertasi. Tajuk kertas kerja saya ialah ‘Peranan
dan Tanggungjawab Wanita dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Pelajar
Darul Quran’. Mungkin dalam ‘post’ lain saya akan berkongsi sedikit
mengenainya.
[2] PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai
Simpanan) Angkatan Tentera Malaysia atau dikenali juga sebagai ROTU (Reserved
Officer Training Unit). Boleh cari dalam internet untuk maklumat dan sejarah
penubuhannya
[3] Kadangkala kita bukan membunuh diri,
tetapi membunuh potensi diri. Melarikan diri dari kehidupan dan mencipta dunia
sendiri. Kita lari dari sahabat-sahabat dan teman, lari dari persatuan dan
akhirnya membunuh potensi yang wujud dalam diri kita sendiri.







No comments:
Post a Comment